PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 4 dunia, S. Sivasangari mendakap gelaran keempat pada kejohanan berstandard Gold, selepas menjuarai Terbuka Silicon Valley di Redwood City, California, Amerika Syarikat, semalam.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu yang diletakkan sebagai pilihan ketiga membenam wakil Mesir yang menghuni ranking No. 20 dunia, Farida Mohamed 11-7, 11-6, 11-8 dalam masa 31 minit pada final.

Sivasangari yang masih segar dengan kejayaannya memenangi pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya dan meraih tiket ke Temasya Olimpik, merangkul gelaran sulungnya pada Jelajah Dunia PSA bagi musim 2026/27.

Sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berakhir, Sivasangari melahirkan rasa gembira kerana berjaya merangkul gelaran keempat pada kejohanan berstandard Gold.