Kuala Lumpur: Baru dua tahun mendirikan rumah tangga, seorang lelaki berusia 27 tahun terpaksa menerima hakikat bahawa perkahwinan yang dibina bersama wanita sebaya berakhir dengan perceraian.
Bagi Abdullah (bukan nama sebenar), perpisahan pada 2024 itu bukan berpunca daripada satu pertelingkahan semata-mata, sebaliknya perbezaan jangkaan terhadap kehidupan berumah tangga yang semakin ketara selepas mereka berkahwin pada 2022.
Hubungan jarak jauh (PJJ) yang dilalui turut membataskan masa bersama, sekali gus menyukarkan mereka memenuhi keperluan dan harapan masing-masing apabila konflik timbul, apatah lagi bekas isteri didakwanya turut mempunyai masalah kesihatan mental.
"Apabila konflik, dia akan cederakan diri sendiri. Ada perkara dia harap daripada saya, tapi saya gagal penuhi. Saya akui saya juga bersalah kerana tak bertanya, fahami perkara itu sebelum kami kahwin. Saya tak boleh salahkan dia atas sakitnya," katanya kepada BH.









