Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati apabila kontinjen negara mencapai sasaran enam pingat emas pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus menutup kempen di Jepun dengan pencapaian membanggakan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari, berkata beliau bangga dengan perjuangan wira dan wirawati para negara yang mengakhiri saingan dengan pungutan enam emas, lapan perak dan 13 gangsa.

"Saya cukup bangga. Wira wirawati para negara menutup kempen Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan enam emas, lapan perak dan 13 gangsa; sasaran enam pingat emas berjaya dicapai," katanya menerusi perkongsian di Instagram.

Beliau berkata, sepanjang berada di Jepun, dirinya menyaksikan sendiri pengorbanan atlet yang berjuang bersungguh-sungguh demi mengharumkan nama negara, dengan setiap pingat yang diraih hadir bersama kesakitan, keringat dan air mata.