PENUBUHAN sesebuah kumpulan dalam tempoh yang panjang bukan satu perkara mudah. Pasti ada cabaran tersendiri demi mempertahankan keutuhan sebuah jenama.

Namun, selepas lebih 20 tahun mewarnai industri muzik, vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo membuat keputusan untuk membawa haluan sendiri.

Adi atau nama lengkapnya Adi Priyo Sambodo, 43, memaklumkan dia mahu berehat dan memberikan tumpuan kepada beberapa projek lain, termasuk bersama kumpulan Venus.

Pada masa sama, penyanyi asal Indonesia itu berasakan sudah tiba masanya untuk bergerak secara solo demi memberi lebih kebebasan dalam berkarya.