KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad menjadi suara utama 6ixth Sense, vokalisnya, Adi Priyo, membuat keputusan mengundurkan diri daripada kumpulan itu bagi memberi laluan kepada fasa baharu dalam perjalanan seni.
Keputusan berkenaan bukan didorong perselisihan faham atau konflik dengan anggota lain, sebaliknya dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk stamina yang tidak lagi seperti dahulu serta komitmen keluarga dan kerjaya.
Adi, 43, berkata, selepas sekian lama bergerak secara berkumpulan, dia merasakan sudah tiba masanya untuk memberi tumpuan kepada kerjaya solo, selain menyusun semula keutamaan dalam kehidupan.
Bagaimanapun, pengunduran itu tidak bermakna dia mahu memutuskan hubungan dengan kumpulan yang ditubuhkan pada 2005 berkenaan, malah akan terus memberikan sokongan terhadap perjalanan seni 6ixth Sense.










