AKSES teknologi bagi nelayan kecil untuk meningkatkan kecekapan menangkap ikan dan keselamatan ketika berada di laut bukanlah sesuatu yang mustahil, malah semakin mudah dicapai menerusi penggunaan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Dalam konteks ini, AI boleh dimanfaatkan bagi membantu nelayan kecil di Malaysia mengenal pasti kawasan yang berpotensi mempunyai banyak ikan sekali gus mengurangkan kos operasi dan meningkatkan keselamatan ketika berada di laut.
Pada ketika ini, teknologi AI untuk kegunaan nelayan telah dibawa masuk ke Malaysia menerusi aplikasi perikanan dari Iceland iaitu Afli.
Aplikasi ini dibangunkan oleh syarikat teknologi GreenFish hf. dan diperkenalkan menerusi kerjasama dengan Supratechnic (M) Sdn Bhd, yang dilantik sebagai pengedar eksklusif Afli di Malaysia, Singapura dan Indonesia.








