Kuala Lumpur: Coca-Cola Malaysia, dengan kerjasama Alam Flora Environmental Solutions dan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), telah melancarkan kempen 'Recycle Me!' 2026.
Inisiatif berteraskan komuniti ini memperkenalkan program pendidikan kitar semula, kemudahan infrastruktur serta aktiviti kitar semula kepada lapan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.
Program ini bertujuan untuk memudahkan penduduk mengamalkan kitar semula dengan menyediakan lokasi pengumpulan yang lebih dekat dan mudah diakses oleh komuniti setempat, sekali gus meningkatkan penyertaan dalam pengumpulan botol PET dan tin aluminium untuk dikitar semula.
Menurut artikel yang diterbitkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada tahun 2021, kira-kira 82.5 peratus daripada sisa yang dihasilkan di Malaysia berakhir di tapak pelupusan.









