KUALA LUMPUR - Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyatakan komitmen untuk berganding bahu dengan inisiatif #Malaysia100 bagi membina masa depan negara yang lebih bersatu padu, progresif dan makmur menjelang 30 tahun akan datang.Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, #Malaysia100 merupakan satu gagasan yang berpotensi membawa impak besar kepada masa hadapan negara kerana asas kepada perubahan yang ingin dicapai perlu dibina bermula hari ini.Menurut beliau, usaha membentuk masa hadapan Malaysia bukan sekadar berkaitan pembangunan ekonomi malah turut merangkumi aspek budaya, sosial, politik dan nilai yang ingin diwariskan kepada generasi seterusnya."Masa hadapan negara sebenarnya bermula pada hari ini, bukan 30 tahun akan datang. Persoalannya, apakah warisan yang ingin kita tinggalkan untuk negara ini?" katanya kepada Rasuah Busters pada Isnin.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar mengenang perjalanan negara sejak merdeka, bahkan menjadi titik mula kepada tempoh 31 tahun menuju Malaysia berusia 100 tahun.Atas semangat itu, Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters) yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub melancarkan gerakan Legasi #Malaysia100 untuk mengajak generasi hari ini yang memegang 'baton' negara menyerahkan 'baton' itu dalam keadaan lebih baik kepada anak cucu kita pada 2057 nanti.Untuk menyahut gagasan #Malaysia100 itu, Hussamuddin mengajak rakyat Malaysia sepanjang setahun sehingga 31 Ogos 2027 bersama-sama berdialog dan mengemukakan idea bagi membentuk Malaysia yang mahu diwariskan pada 2057.Badlishah Sham berkata, IKRAM sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dekat dengan masyarakat akar umbi mahu memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembentukan legasi negara yang lebih baik menerusi prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar, iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.Katanya, kerjasama antara pertubuhan masyarakat sivil, media, NGO dan masyarakat secara keseluruhan penting bagi memastikan #Malaysia100 berkembang sebagai gerakan yang digerakkan oleh rakyat bukan sekadar satu gagasan di peringkat organisasi."Rakyatlah yang perlu mendambakan masa depan yang ingin kita lihat untuk Malaysia dalam tempoh 30 tahun akan datang."Rakyat juga memainkan peranan dalam mencorakkan kehidupan sosial dan ekonomi serta menentukan arah pembangunan negara," katanya.Badlishah berkata, IKRAM turut bersedia menyumbang melalui pengalaman organisasi itu dalam membina hubungan dan kerjasama antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim yang telah diusahakan selama beberapa dekad.Beliau berkata, perpaduan dan kerjasama antara agama merupakan antara agenda penting IKRAM termasuk melalui pelbagai platform dan gabungan masyarakat sivil yang menghimpunkan pertubuhan daripada latar belakang berbeza.Antara usaha yang dilaksanakan termasuk kerjasama dengan pertubuhan bukan Muslim dan penglibatan dalam platform seperti Harmony of Nations dan Gabungan Bertin