KANGAR: "Mak kejut beritahu ayah dah tak ada (meninggal dunia)... masa itu saya memang sangat sedih," demikian kata Rayyan Shakimi, 14.

Rayyan adalah anak sulung kepada Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, yang maut ketika bertugas di perairan Sungai Padang, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Tiga lagi rakan setugas mangsa di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengalami kecederaan.

Menurut Rayyan, dia mengetahui berita sedih itu kira-kira jam 3 pagi selepas ibunya, Sajaratul Akmal Abdul Shukor, 41, menerima panggilan telefon yang memaklumkan kejadian berkenaan.