KOTA SAMARAHAN: Kepesatan perkembangan kecerdasan buatan (AI) mengubah landskap dunia penulisan, sama ada kreatif mahupun akademik. Dalam hitungan saat, teknologi seperti ChatGPT, Gemini, DeepSeek dan Claude mampu menjana pelbagai bentuk karya tanpa mengira genre.
Namun, kemudahan itu turut menimbulkan persoalan mengenai keaslian, integriti dan identiti budaya sesuatu karya.
Sarjana dari Universiti Brunei Darussalam, Dr Khadizah Abd Mumin, berkata kemunculan AI membawa cabaran baharu kerana teknologi berkenaan bukan lagi sekadar alat penyampaian, malah mula mempengaruhi proses penciptaan karya.
"Evolusi penulisan sudah melalui fasa yang panjang, namun kemunculan AI membawa cabaran baharu kerana ia bukan lagi sekadar alat penyampaian, malah mula mempengaruhi proses penciptaan karya itu sendiri," katanya ketika membentangkan tajuk 'Pengaruh Kecerdasan Buatan dalam Karya Kreatif: Antara Algoritma, Jiwa dan Masa Depan Sastera' pada Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), baru-baru ini.








