Tawau: Bekas Ketua Staf Bahagian Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mat Zaki Md Zain mendakwa ditempatkan di sebuah bilik gelap dikenali sebagai 'Blok Insaf' ketika ditahan berhubung siasatan kes pembunuhan seorang pemandu e-hailing, tiga tahun lalu.

Mat Zaki yang juga bekas pegawai kanan polis berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) mendakwa blok berkenaan lazimnya digunakan untuk menempatkan banduan bermasalah, ganas atau mempunyai masalah mental.

Saksi ke-11 yang juga plaintif pertama itu berkata demikian ketika memberi keterangannya semasa pemeriksaan utama peguam Sharatha Masyaroh John Ridhwan Lincon pada perbicaraan saman RM190 juta terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 11 defendan lain, di Mahkamah Tinggi di sini.