KUALA LUMPUR: Mitsubishi Materials Corporation (MMC) akan menghentikan operasi pemotongan jalur dan penjualan jalur tembaga serta aloi tembaga di kilangnya di Johor menjelang Mac 2027, langkah yang menjadi sebahagian usaha kumpulan itu mengoptimumkan struktur pengeluaran dan bekalannya.
Operasi berkenaan dijalankan oleh Ryoshindo Manufacturing Sdn Bhd (RM), anak syarikat milik penuh MMC yang ditubuhkan pada 1995 sebagai pangkalan bekalan bagi pasaran Asia Tenggara.
Dalam satu kenyataan di laman webnya, MMC berkata, keputusan menghentikan operasi itu dibuat susulan perubahan ketara dalam persekitaran perniagaan RM sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk perubahan keadaan pasaran dan persaingan serta sekatan eksport sekerap yang semakin ketat di Malaysia.








