KUALA LUMPUR: Paramount Property membangunkan Sejati Shah Alam dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM620.6 juta, sekali gus memperkukuh perancangan syarikat membangunkan kediaman bertanah di Selangor.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Paramount, Beh Chun Chong, berkata pembangunan yang merangkumi tiga bidang tanah itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan Sejati By The Lake menjadi projek pertama yang kini dilancarkan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Daripada keseluruhan GDV, Sejati By The Lake menyumbang RM236.6 juta, manakala fasa kedua membabitkan GDV sebanyak RM332 juta dan fasa ketiga (RM52 juta).
Beliau berkata, pelaksanaan fasa seterusnya akan mengambil kira keadaan pasaran, permintaan pembeli serta perancangan pembangunan secara keseluruhan bagi memastikan penawaran kediaman dapat disesuaikan dengan keperluan pasaran.









