DALAM era digital yang menuntut ukuran perhatian pendengar hanya dalam tempoh 15 saat, penghasilan sesebuah album penuh pula sebaliknya, tidak pernah berubah, harus dari saat pertama sehinggalah penamat, semuanya satu perjudian berani.

Ketika industri muzik semakin rancak melahirkan lagu untuk santapan pantas, Ernie Zakri memilih jalan berbeza menerusi album terbaharunya, ATMA, sebuah naskhah sarat emosi, berani dan menuntut pendengar menyelami setiap lapisan rasa hingga ke penghujungnya.

Bagi penyanyi bersuara soprano itu, ATMA bukan medan untuk terus mempertontonkan kehebatan vokal atau berlumba mencapai nota tinggi, sebaliknya ruang untuk memperlihatkan sisi seni lebih matang, mentah dan peribadi.