​SUNGAI BULOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan memulakan siasatan ke atas sebuah stesen minyak di daerah ini yang didakwa menjual petrol bercampur air pada 19 Oktober lalu.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, sepasukan pegawai dihantar ke premis tersebut pada hari sama bagi menyiasat aduan tersebut.

​”Sebanyak tiga sampel petrol RON95 diambil dari pam untuk dihantar untuk tujuan analisis oleh Jabatan Kimia bagi mengesahkan sekiranya wujud campuran seperti yang didakwa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Muhamad Hanif berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan satu kertas inkuiri dibuka bagi menyiasat perkara berkenaan.