SUNGAI BULOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menjalankan siasatan susulan aduan berhubung sebuah stesen minyak di Batu 14 di sini yang didakwa menjual petrol RON95 bercampur air pada 19 Oktober lalu.Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu pada jam 11.53 pagi sebelum sepasukan pegawai dihantar ke stesen minyak terbabit pada hari yang sama.Menurutnya, sebanyak tiga tin sampel petrol RON95 diambil dari pam nombor tiga untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis."Sampel berkenaan diambil bagi mengesahkan sama ada terdapat campuran air seperti yang didakwa."Kertas inkuiri turut dibuka bagi menyiasat perkara ini dan KPDN memandang serius isu berkenaan," katanya pada Sabtu.Sebelum ini, tular satu hantaran pengguna Threads yang mendakwa petrol RON95 dibelinya di sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan dipercayai bercampur air.Dalam pada itu, Muhamad Hanif berkata, premis terbabit turut diberikan nasihat dan amaran supaya sentiasa memastikan kualiti bahan api yang dijual serta mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.Media sebelum ini melaporkan KPDN Selangor menerima 10 aduan berkaitan petrol yang disyaki bercampur air membabitkan tujuh stesen minyak di negeri ini.