Tehran: Menteri Luar Iran menegaskan pada Ahad bahawa tiada penyelesaian ketenteraan untuk perang Amerika Syarikat (AS) terhadap republik Islam itu ketika rundingan bagi menamatkan konflik berkenaan dilihat menemui jalan buntu.

Kempen pengeboman besar-besaran gagal menamatkan perang yang dilancarkan AS dan Israel pada akhir Februari, manakala Washington sejak beberapa minggu lalu mengurangkan operasi ketenteraan dan memberi tumpuan kepada tekanan ekonomi.

Pertikaian utama kekal usaha Iran menyekat Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas dari Teluk, selepas agensi maritim Britain melaporkan pada Ahad sebuah lagi kapal tangki terkena objek tidak dikenali.

"Jika musuh kita sekali lagi memilih jalan konfrontasi ketenteraan, tindak balas kita akan lebih kuat daripada sebelumnya dan kita akan mempertahankan diri dengan lebih hebat," kata Menteri Luar Iran Abbas Araghchi ketika berucap pada satu perhimpunan duta asing.