KUALA LUMPUR: Mestron Holdings Bhd memperoleh kelulusan tarif galakan (FiA) baharu daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) untuk memperluas kemudahan penjanaan tenaga elektrik biogasnya di Gua Musang, Kelantan.
Pengeluar tiang keluli itu memaklumkan, kelulusan berkenaan diberikan kepada anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Liziz Biogas Sdn Bhd.
"Kelulusan ini membolehkan kumpulan meningkatkan kapasiti eksport elektrik bersih yang diluluskan untuk kemudahan berkenaan sebanyak 18 peratus, daripada 2.00 megawatt (MW) kepada 2.36MW, selain meningkatkan kapasiti terpasang yang diluluskan sebanyak 13 peratus, daripada 2.76MW kepada 3.12MW," menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.






