PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang bertujuan menghapuskan peruntukan mengekang kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan akan dibentangkan di Parlimen, Disember ini.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui menerusi mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan cadangan yang dikemukakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meminda akta berkenaan.
Menurut beliau, pindaan itu akan memberi tumpuan khusus kepada seksyen-seksyen yang dilihat mengekang kebebasan mahasiswa, termasuk dalam aspek bersuara dan berpersatuan, selain Jemaah Menteri turut bersetuju supaya satu akta baharu dibangunkan bagi menggantikan AUKU sepenuhnya dalam tempoh munasabah.









