PUTRAJAYA: Keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama yang hidup dalam suasana harmoni menjadi antara faktor utama negara ini dipilih sekali lagi sebagai tuan rumah Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) ke-27 selepas 19 tahun.

Lebih menarik, pengalaman Malaysia dalam mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk itu turut menjadi antara topik yang akan diketengahkan untuk perbincangan ulama tersohor dari negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sepanjang persidangan berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pemilihan Malaysia mencerminkan kepercayaan dan penghormatan diberikan IIFA terhadap negara ini, khususnya dalam mengenengahkan pendekatan kehidupan masyarakat pelbagai bangsa dan agama secara aman serta harmoni.