MEMILIKI televisyen bersaiz besar dengan paparan 4K dan ciri televisyen pintar tidak lagi memerlukan perbelanjaan ribuan ringgit, contohnya seperti yang ditawarkan PRISM+ menerusi model Q55 Ultra 2026.

Televisyen ini hadir dengan panel Diod Pemancar Cahaya Titik Kuantum Dipertingkat (QLED+), sistem operasi Google TV, pemproses kecerdasan buatan (AI) serta sokongan Dolby Vision dan Dolby Atmos, yang melengkapkan pengalaman hiburan di rumah.

Pada julat harga berpatutan, gabungan ciri itu menjadikan Q55 Ultra antara pilihan yang wajar dipertimbangkan pengguna yang mahukan televisyen pintar untuk menonton filem, drama, rancangan televisyen dan kandungan penstriman.

Dari segi paparan, Q55 Ultra menawarkan resolusi 4K UHD berukuran 3,840 x 2,160 piksel, yang menyediakan perincian imej lebih tinggi berbanding televisyen Full HD (HD penuh).