KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan ketika peniaga menumpukan pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 November ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sebarang potensi kenaikan OPR itu akan hanya memacu sokongan terhadap ringgit ketika BNM dikatakan sedang mempertimbang usaha penormalan kadar dasar berikutan trajektori pertumbuhan ekonomi negara yang lebih kukuh daripada jangkaan.

"Oleh itu, julat ringgit diniagakan berbanding dolar AS adalah dalam RM4.05 hingga RM4.07 pada minggu depan," katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, sebarang kemungkinan krisis Asia Barat menjadi lebih meruncing akan hanya mendorong kenaikan harga minyak dan peningkatan premium tempoh Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST).