MASJID TANAH: Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang dimeterai di antara wakil Kerajaan MADANI dengan Ahli Parlimen BERSATU dan Bebas pada Khamis lalu, sewajarnya diperluas kepada parti lain, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa adalah menjadi hak semua pihak terbabit untuk menyantuni dan menangani segala permasalahan rakyat.
"Ini satu perkembangan yang baik dan kita menyokongnya, sebaik-baiknya CSA ini dilanjutkan kepada parti lain.
"Tidak kira sama ada di pihak sebelah kerajaan atau sebaliknya kerana mungkin ini adalah hak mereka untuk menyantuni dan menangani permasalahan rakyat," katanya.









