Los Angeles: Mahkamah California semalam menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap dua lelaki warga China yang mengaku cuba merekrut anggota tentera Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi perisik China.
Liren Lai dan Yuance Chen turut dikenakan pengawasan selama tiga tahun selepas menjalani hukuman penjara selepas mengaku bersalah bertindak atas arahan Kementerian Keselamatan Negara China (MSS).
Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berkata, kedua-dua lelaki itu menjalankan kegiatan perisikan sulit di negara berkenaan termasuk menguruskan pembayaran wang tunai secara rahsia sebagai pertukaran untuk mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan negara.
Katanya, mereka didakwa turut mengumpul maklumat mengenai anggota dan kemudahan ketenteraan AS, selain cuba merekrut individu dalam pasukan tentera negara itu sebagai sumber perisikan.









