ALOR SETAR – Penguasaan warga asing dalam sektor pertanian negara, khususnya aktiviti penanaman padi dibimbangi boleh menjejaskan penglibatan pesawah bumiputera dalam industri tersebut.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sektor penanaman padi perlu terus dipertahankan oleh pesawah bumiputera bagi memastikan pengeluaran makanan utama negara kekal terpelihara.

“Saya bimbang banyak kerja di sawah sekarang ini tinggal bendang sahaja. Kalau bendang pun terlepas, habislah. Semua sudah diambil alih orang luar.

“Kalau kita buat bendang rugi, orang lain pula datang mengambil untung. Bagaimana kita hendak mempertahankan sektor ini kalau akhirnya diserahkan kepada orang asing?” katanya ketika berucap pada Program Turun Padang Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Pesawah negeri ini di PPK H-II Kepala Batas, di sini, hari ini.