PARIT: Kehilangan bapa akibat Covid-19 ketika berusia 18 tahun tidak mematahkan semangat Lim Mei Zhen untuk mengubah nasib keluarga menerusi pendidikan.
Malah pengorbanan dan ketabahannya membuahkan kejayaan apabila dia menerima Anugerah Emas Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) Ke-26 di sini hari ini.
Mei Zhen, 23, anak ketiga daripada empat beradik dari Bahau, Negeri Sembilan itu berkata, pemergian bapanya memberi kesan besar terhadap kehidupannya, terutama ketika dia masih memerlukan sokongan keluarga untuk meneruskan pengajian.
Lebih mencabar, kehilangan insan yang menjadi tempat bergantung menyebabkan dia dan adik-beradiknya terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebelum mendapat tempat berlindung apabila ibu saudara dan bapa saudaranya mengambil mereka tinggal bersama.










