Kuala Lumpur: Peluang membalas kekalahan lalu menjadi pembakar semangat buat sensasi Muay Thai negara, Johan 'Jojo' Ghazali apabila bertemu semula jaguh Colombia, Johan Estupinan dalam pertarungan ulangan pada 11 Disember ini.
Pertembungan dua petarung muda flyweight itu bakal berlangsung di The Inner Circle 42, sekali gus membuka peluang buat Jojo menebus kekalahan kepada Estupinan dalam pertemuan pertama mereka pada ONE 170, Januari tahun lalu.
Petarung berusia 19 tahun itu tewas menerusi keputusan sebulat suara, biarpun terlebih dahulu menjatuhkan lawannya itu pada pusingan pertama.
Namun, Estupinan bangkit menjatuhkan Jojo pada pusingan kedua sebelum menguasai pertarungan pada pusingan terakhir untuk meraih kemenangan, sekali gus menjadi antara kekalahan paling sukar dalam perjalanan awal karier petarung kelahiran Malaysia-Amerika Syarikat itu.










