Kuala Lumpur: Umpama babak dalam filem The Day After Tomorrow.
Itu pengalaman dilalui Osman Adnan, 46, ketika merakam sendiri detik cemas dan kemusnahan akibat banjir besar yang melanda Shah Alam, Selangor pada Disember 2021.
Bukan sahaja kawasan perumahan ditenggelami air, malah Jurufoto Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) itu menyaksikan keadaan huru-hara apabila penduduk menyelamatkan diri dan ahli keluarga keluar dari kediaman yang ditenggelami air.
Lebih menyedihkan ada penduduk terkandas semalaman dalam kenderaan manakala sebahagian orang ramai dilihat memecahkan pintu pasar raya, kedai dan farmasi untuk mendapatkan apa sahaja barangan keperluan termasuk susu bayi.








