BAITULMUQADDIS: Israel mengeluarkan 9,518 notis perobohan dan arahan menghentikan kerja pembinaan terhadap bangunan serta struktur milik rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki sejak 2015.

Menurut Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin, daripada jumlah itu sebanyak 9,174 notis dikeluarkan antara 2015 hingga 2025, manakala 344 lagi direkodkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Suruhanjaya itu berkata, notis berkenaan menyebabkan kerja pembinaan dihentikan dan harta benda penduduk berdepan ancaman perobohan, lapor agensi berita Anadolu.

Keadaan itu turut menjejaskan kehidupan keluarga Palestin dan menyekat usaha komuniti membina kediaman, memperluas kemudahan awam serta meneruskan kegiatan ekonomi.