SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menurap semula permukaan litar susulan rungutan pelumba terhadap kualiti asfalt yang didakwa terlalu kasar, berbatu dan kurang selamat pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, hujung minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, kalau diimbas kembali pada awal tahun ini, masa SIC menutup litar, memang hasrat asal adalah untuk membuat penurapan semula, tetapi, disebabkan konflik Asia Barat perancangan itu ditunda.

“Konflik di Asia Barat menyebabkan kita sukar mendapatkan bekalan agregat tertentu seperti kos membeli bitumen yang menjadi sangat mahal dan logistik juga rumit.

“Oleh itu, kita beralih kepada kaedah lain iaitu pengisaran (milling). Berdasarkan laporan penuh daripada FIM (Persekutuan Motosikal Antarabangsa) nanti, ada kemungkinan kita perlu menutup litar untuk melakukan penurapan semula pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas GP Malaysia berakhir, kelmarin.