KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mungkin akan ditutup semula bagi kerja-kerja penurapan selepas menerima aduan daripada pelumba MotoGP yang menyifatkan keadaan permukaan trek ketika Grand Prix (GP) Malaysia sebagai semakin teruk.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya mengambil serius maklum balas pelumba dan meneliti laporan penuh berkaitan keadaan permukaan litar yang akan diterima daripada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) serta MotoGP.

Beliau berkata, pada awal tahun ini, SIC sememangnya mempunyai perancangan untuk melakukan penurapan semula keseluruhan trek, namun terpaksa menggunakan kaedah lain berikutan masalah bekalan bahan serta peningkatan kos.