KUALA LUMPUR: Kes kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang disyaki dibunuh di dewan sekolah di Yong Peng, Johor kelmarin, perlu menjadi 'amaran' kepada semua pihak supaya aspek keselamatan di institusi pendidikan terus diperkukuh.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, satu lagi kes direkodkan yang menambah episod duka dan suram membabitkan tragedi kematian dalam kawasan sekolah.

Katanya, langkah keselamatan di sekolah perlu dipertingkatkan dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing seperti melakukan pemantauan dan kawalan keluar masuk yang ketat untuk menjaga keselamatan dalam kawasan sekolah.

"Apabila kesiapsiagaan daripada masuk pagar sekolah diperlihatkan, ia menghantar mesej jelas kepada pelajar mahupun ibu bapa bahawa sekolah berkenaan benar-benar mengutamakan keselamatan dalam kawasan persekolahan.