KUALA LUMPUR: GDB Holdings Bhd (GDB) memperoleh kontrak bernilai RM877 juta bagi pembinaan hab logistik di Seksyen 15, Shah Alam, sekali gus meningkatkan nilai buku pesanan tertunggak kumpulan itu kepada paras tertinggi dalam sejarahnya, iaitu kira-kira RM2.93 bilion.

Kontrak terbaharu itu turut menjadikan jumlah kontrak baharu yang diperoleh GDB setakat tahun ini mencecah rekod RM2.69 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan kumpulan sehingga 2031.

Dalam kenyataan hari ini, GDB berkata, anak syarikat milik penuhnya, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB), dilantik sebagai kontraktor utama bagi melaksanakan projek berkenaan.

Katanya, projek itu membabitkan pembinaan dua bangunan hab logistik lima tingkat yang dilengkapi ruang pejabat mezanin bersepadu serta sebuah kafeteria tiga tingkat bagi menyokong operasi rantaian bekalan berkapasiti tinggi.