Laporan bahawa seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah menengah di Kulim dengan hasil temu bual pihak berkuasa dengan mangsa mendapati dia mengaku terjun sendiri dari bangunan sekolah kerana mengalami tekanan berkaitan akademik cukup membimbangkan kita.
Insiden ini bersama-sama dengan pelbagai kes membabitkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini seperti buli dan membunuh mencetuskan satu persoalan yang cukup besar dan kritikal, iaitu sejauh mana para ibu bapa benar-benar mengenali anak mereka?
Persoalan ini timbul kerana dalam banyak kes yang dilaporkan, hasil maklum balas daripada ibu bapa dan keluarga menunjukkan anak-anak ini tidak menunjukkan sebarang sikap mahu pun perilaku yang ganas, bahaya, terkesan emosi, mahu pun nakal ketika bersama dengan keluarga.









