PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dan RTB Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan bagi mengatasi masalah banjir yang berulang di kawasan berkenaan.

Selain mempercepatkan projek jangka panjang itu, satu penyelesaian sementara menerusi pembinaan kolam tadahan turut diarahkan bagi mengurangkan risiko banjir kilat sementara menunggu keseluruhan projek disiapkan.

Perdana Menteri mengeluarkan arahan itu susulan kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Melayu Subang dan kawasan sekitar petang kelmarin sehingga menjejaskan 575 mangsa daripada 253 keluarga.

Anwar berkata, kedua-dua projek yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan itu perlu digerakkan tanpa sebarang kelewatan bagi meminimumkan risiko bencana serta mengelakkan penduduk terus berdepan kejadian sama.