Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pengarah Pendidikan wanita pertama negara, Tan Sri Asiah Abu Samah, meninggal dunia pada usia 89 tahun di Hospital KPJ Damansara akibat sakit jantung, pada jam 5 pagi hari ini.

Berita duka berkenaan disahkan anak saudara Allahyarham, Shafinaz Shamsudin.

Shafinaz berkata, urusan mandi dan kafan jenazah dijadualkan pada jam 10 pagi di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), sebelum disolatkan selepas solat Zuhur.

"Jenazah kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur hari ini," katanya ketika dihubungi, pagi ini.