Batu Pahat: Pemandu lori membawa muatan tar yang terbabit dalam nahas hingga mengorbankan pasangan suami isteri di Jalan Yong Peng-Muar, dekat Parit Yaani, Ahad lalu, direman empat hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 30 tahun bermula hari ini, dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Suspek yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) semalam, selepas turut cedera dalam nahas itu, tiba di mahkamah kira-kira jam 8.15 pagi tadi bagi prosiding permohonan reman.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lori dipandu lelaki terbabit dipercayai terbabas selepas tayarnya pecah sebelum menghempap MPV dinaiki empat beranak berkenaan.