KUALA LUMPUR: Selepas 10 tahun mengharungi pelbagai cabaran, pengorbanan dan jatuh bangun dalam industri muzik, kumpulan Floor 88 akhirnya merealisasikan impian untuk mengadakan konsert solo sendiri di pentas antarabangsa menerusi konsert DASAWARSA di The Theatre at Mediacorp, di Singapura, semalam.
Konsert anjuran Boomz Entertainment itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat kumpulan berkenaan apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 1,500 penonton sekali gus membuktikan perjalanan seni mereka sepanjang sedekad bukan sekadar berkisar tentang lagu dan populariti, sebaliknya turut diwarnai nilai persahabatan, ketabahan serta semangat untuk terus bertahan dalam industri muzik.
Penganjuran DASAWARSA bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi turut menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan 10 tahun Floor 88 yang menyaksikan setiap anggotanya melalui pelbagai pengalaman dan cabaran sebelum berjaya berdiri di pentas berkenaan.










