BANGKOK: Thailand mencatatkan 470 kes mpoox dan tiga kematian dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sekali gus mendorong Jabatan Kawalan Penyakit negara itu menggesa orang ramai yang bergejala untuk segera mendapatkan rawatan perubatan.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Montien Kanasawadse, memaklumkan data berkenaan bagi tempoh antara 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

Beliau menekankan kepentingan diagnosis awal, pemantauan berterusan serta langkah pencegahan bagi mengekang penularan.

Katanya, sesiapa yang mengalami ruam, lepuh atau kudis ganjil, khususnya selepas berdepan risiko pendedahan kepada virus itu, digalak merujuk doktor serta memberikan maklumat gejala dan sejarah hubungan rapat yang tepat.