Jamil Khir Baharom didakwa melakukan kesalahan itu antara 3 April 2015 hingga 17 Ogos 2017 di pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Jamil Khir Baharom akan mencabar tiga pertuduhan berkaitan pelupusan aset Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM860.3 juta yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Jamil, 65, memaklumkan bahawa pihak pembelaan akan memfailkan beberapa permohonan berhubung pertuduhan dalam kes itu, termasuk mencabar pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

"Kami akan memfailkan beberapa permohonan termasuk berkaitan pasport selepas meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan," katanya pada prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Rosli Ahmad, hari ini.