Kuala Lumpur: Lebih 10 tahun terputus hubungan, siapa sangka kemalangan jalan raya yang tidak disengajakan membawa hikmah apabila mempertemukan semula dua sahabat lama.

Pertemuan tidak diduga itu berlaku apabila kereta dipandu Luqmanul Haqim Mat Desa, 33, dilanggar kereta sahabat lamanya yang dikenali sebagai Anang dari arah belakang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat merah di kawasan Kapar, Klang, Selangor, Isnin lalu.

Pada mulanya, kedua-dua lelaki itu langsung tidak menyedari mereka terbabit dalam kemalangan sesama sendiri sehinggalah keluar dari kenderaan masing-masing sebelum secara spontan berpelukan sebaik mengenali di antara satu sama lain.

Aksi spontan dua sahabat itu mencuri perhatian pengguna jalan raya lain sebelum rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kejadian itu tular.