CYBERJAYA - Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di Jalan CV 4, Cyber Valley di sini pada Khamis.Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC berwarna merah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah sebuah sekolah antarabangsa di sini menuju ke kediamannya di Aurora Cyber Valley."Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal ditungganginya terbabas dan terjatuh di atas jalan raya."Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Cyberjaya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang merupakan pelajar sebuah sekolah swasta di Cyberjaya itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah."Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis."Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596 atau 03-87774264 bagi membantu siasatan," katanya.