MERSING – Seorang pelajar GiatMara Mersing di sini ditemui lemas selepas motosikal Yamaha Y15 ditungganginya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Jemaluang di Jalan Sekakap malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11.36 malam itu, mangsa, Ahmad Danish Zaquan Ahmad Yazir, 19, dipercayai gagal menyelamatkan diri dan situasi cemas itu disedari rakannya sebelum menghubungi talian kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bagi mengesan remaja terbabit.

Menurutnya, operasi itu membabitkan kekuatan 15 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Skudai.