LONDON – Polis Britain menafikan dakwaan sebuah helikopter miliknya sengaja melakukan corak penerbangan berbentuk alat kelamin lelaki di langit Hampshire, England, selepas laluan pesawat itu mencetuskan perhatian orang ramai, lapor saluran berita UPI.
Perkhidmatan Udara Polis Kebangsaan (NPAS) berkata, corak penerbangan yang kelihatan seperti lakaran kemaluan lelaki itu tidak disengajakan ketika helikopternya melakukan misi kepolisan.
Kejadian disedari penduduk Fleet di Hampshire, Gordon Bird, 53, semasa memeriksa data laman web pemantauan penerbangan selepas bunyi helikopter itu mengganggu tidur anak perempuannya yang berusia dua tahun.
Bird berkata, helikopter itu berlegar-legar di ruang udara antara 15 hingga 20 minit pada pukul 11 malam (waktu tempatan), baru-baru ini.










