Antara barangan dirampas Jabatan Imigresen dalam operasi pada 3 Nov lalu. (Gambar JIM)PETALING JAYA: Satu sindiket pemalsuan cap keselamatan Jabatan Imigresen (JIM) dipercayai mampu memperoleh keuntungan sehingga RM15,000 sebulan dengan mengenakan bayaran RM70 hingga RM100 bagi setiap cap palsu.

JIM berkata, sindiket itu terbongkar selepas tiga individu termasuk seorang lelaki tempatan dan dua wanita Thailand ditahan dalam operasi khas di Kajang, dan Pandan Perdana, Kuala Lumpur pada 3 Nov lalu.

“Modus operandi sindiket adalah memalsukan cap keselamatan endosmen imigresen yang dikeluarkan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sindiket itu menyasarkan warga asing yang berada di negara ini tanpa pas sah atau telah tinggal lebih masa khususnya warga Thailand.