JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan memperkukuh ekosistem pendidikan negeri ini bagi menyokong hasrat menjadikan Johor sebuah negeri bertaraf maju menjelang 2030.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pendidikan merupakan aspek penting yang ditekankan pihaknya bagi melahirkan modal insan berdaya saing dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.

Menurut beliau, usaha itu selari titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang mahu kerajaan negeri terlibat sama dalam aspek pendidikan di negeri ini.

“Walaupun secara dasarnya pendidikan di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan, namun kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi membantu membangun ekosistem pendidikan di negeri ini secara keseluruhan.