KUALA LUMPUR - Pasukan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak menuju ke Penjara Kajang pada Jumaat bagi menyerahkan perintah pelaksanaan tahanan rumah yang diperoleh daripada Mahkamah Tinggi di sini.Perkembangan itu menyusul selepas denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu selesai dibayar oleh UMNO.Peguam Najib, Farhan Muhammad Shafee mengesahkan pihaknya sudah memperoleh perintah mahkamah dan sedang menuju ke Penjara Kajang untuk menyerahkan dokumen itu kepada pihak penjara."Secara rasminya, isu yang saya boleh sahkan setakat jam 1.15 tengah hari ini ialah denda RM50 juta Najib sudah dibayar oleh UMNO kepada Mahkamah Tinggi."Susulan itu, mahkamah sudah mengeluarkan perintah tahanan rumah selaras dengan pengampunan diraja."Kami sudah memperoleh perintah itu dan akan menyerahkannya kepada Penjara Kajang sekarang," katanya pada sidang media di sini.Bagaimanapun, Farhan berkata, beberapa proses lanjut perlu diselesaikan sebelum Najib dibenarkan keluar dari penjara.Beliau menjangkakan urusan berkenaan dapat diselesaikan hari ini, tertakluk kepada kelancaran proses terbabit.Ditanya sama ada bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu akan meninggalkan Penjara Kajang serta-merta, beliau berkata, ia bergantung kepada perjalanan proses berkenaan."Ia boleh berlaku jika proses berjalan mengikut perancangan," katanya menambah, kenyataan media yang lebih menyeluruh akan dikeluarkan selepas semua urusan selesai.Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.Najib menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.Beliau memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022.Pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan baki hukuman dijalani di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk bayaran RM50 juta.Sejak Selasa lalu, timbul spekulasi Najib akan menjelaskan denda berkenaan bagi membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.Sebelum ini, peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan lokasi tahanan rumah yang dinyatakan dalam dokumen diperoleh ialah kediaman Najib di No. 11, Langgak Duta.Pada Oktober lalu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman memaklumkan bahawa Jabatan Penjara Malaysia telah memberikan penjelasan lanjut mengenai mekanisme tahanan rumah kepada Najib.Pada 19 September lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jabatan Penjara Malaysia dijangka menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah terhada