BETAPA mudahnya manusia menyakiti sesama sendiri apabila rasa marah mengatasi pertimbangan dan kebencian menghapuskan rasa belas kasihan.

Perselisihan kecil boleh mencetuskan pergaduhan, gurauan melampau bertukar menjadi penderaan, manakala kecuaian di jalan raya boleh meragut nyawa.

Setiap kehilangan bukan sahaja melibatkan mangsa, malah meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga. Ada ibu kehilangan anak, pasangan hidup tanpa teman dan anak-anak membesar tanpa kasih sayang seorang ayah.

Lebih membimbangkan apabila kekerasan dianggap sebagai cara menunjukkan kuasa. Perbuatan membuli disifatkan sebagai gurauan, pukulan dianggap sebagai pengajaran, manakala ugutan digunakan untuk mendapatkan penghormatan. Hakikatnya, ketakutan tidak melahirkan rasa hormat dan kekerasan bukan lambang kekuatan.