KLANG: Tiada kejadian limpahan air dilaporkan di beberapa kawasan yang sering dilanda banjir sekitar daerah ini susulan fenomena air pasang besar yang berlaku pagi ini.

Situasi setakat pagi ini dilaporkan masih terkawal berdasarkan tinjauan di beberapa lokasi berisiko, termasuk Jeti Pulau Ketam, Stesen Komuter Pelabuhan Klang, Bagan Hailam, Tanjong Harapan dan Bandar Sultan Suleiman.

Tinjauan mendapati keadaan di semua lokasi berkenaan masih baik dan terkawal, selain cuaca juga dilaporkan baik tanpa hujan lebat direkodkan di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, seorang pengguna aplikasi Threads memaklumkan rumahnya di Jalan Benteng, Kapar kembali dinaiki air dipercayai akibat fenomena air pasang besar itu.