Kuala Lumpur: Kehadiran petugas media di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, semakin bertambah ketika persoalan sama ada bekas Perdana Menteri itu akan dibawa pulang untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah hari ini masih belum terjawab.

Tinjauan sehingga jam 1 tengah hari mendapati lebih 10 petugas media berkumpul di sekitar kawasan kediaman berkenaan bagi mengikuti sebarang perkembangan terkini.

Jumlah itu dijangka terus meningkat dengan kehadiran lebih ramai petugas media yang menunggu perkembangan berhubung kemungkinan kepulangan Najib ke kediamannya.

Bagaimanapun, tiada perubahan atau peningkatan kawalan keselamatan dikesan di kawasan kediaman itu setakat waktu berkenaan.